Domestik tidak mampu ganti eksport
KUALA LUMPUR 6 Julai - Sektor domestik tidak mampu menggantikan peranan eksport sebagai penjana utama pertumbuhan ekonomi kerana saiznya adalah kecil.
Sungguhpun begitu, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Mahani Zainal Abidin berkata, sektor itu masih boleh memainkan peranan yang sama penting dengan mengukuh dan memperkasakan sektor itu sendiri.
''Kita perlu pastikan sektor domestik benar-benar kukuh dan cukup besar untuk memberi sumbangan yang ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Prospek Ekonomi Malaysia pada Persidangan Ketua-Ketua Pegawai Kewangan (CFO) anjuran Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (ASLI) di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mahani menyarankan supaya kerajaan meningkatkan pelaburan jaringan keselamatan sosial dalam model ekonomi baru khususnya dalam aspek perubatan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan.
Katanya, idea tersebut sebenarnya menjadi topik perbincangan hampir seluruh dunia sejak krisis ekonomi.
Jelas beliau, dengan adanya pelaburan kerajaan dalam jaringan itu, ia akan mengurangkan akses rakyat kepada aspek itu, sekali gus membolehkan mereka berbelanja secara produktif.
'''Perbelanjaan dalam jaringan keselamatan sosial sebenarnya baik untuk ekonomi kerana ia adalah aktiviti baru dan boleh membuka industri baru.
''Ia juga baik untuk rakyat, kualiti hidup yang lebih baik. Apabila kuasa membeli rakyat Malaysia teguh, sektor domestik pula boleh membantu menjana ekonomi negara.
''Untuk menjadi sebuah negara maju, kita bukan sahaja perlu tekankan kepada kadar pertumbuhan tetapi aspek-aspek jaringan keselamatan. Ini adalah pendekatan holistik,'' ujarnya.
Bagaimanapun, Dr. Mahani berkata, penstrukturan ekonomi itu tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata sebaliknya memerlukan masa yang panjang.
Sambil mengambil contoh, Dr. Mahani berkata, Singapura berjaya mentransformasi ekonomi negara itu selepas mengambil masa selama 20 tahun.
''Jadi, kalau Malaysia ke arah itu, Malaysia perlu segera berbuat demikian,'' tambahnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment