Utusan
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Jumlah dagangan negara meningkat kepada RM915.4 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun ini, naik 12.8 peratus daripada RM811.38 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi September sahaja, jumlah dagangan naik 13.7 peratus kepada RM110.9 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu.
''Lebihan dagangan bagi September sahaja bernilai RM14.53 bilion . Nilai eksport bagi September pula merupakan yang kedua tertinggi dicatatkan setakat ini iaitu meningkat kepada RM62.31 bilion atau 15.1 peratus. Import pula meningkat 11.9 peratus kepada RM47.78 bilion.
''Eksport bagi sembilan bulan pertama pula mencatat kenaikan sebanyak 16 peratus berjumlah RM512.21 bilion manakala import meningkat 9.1 peratus kepada RM403.19 menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM109.03 bilion,'' katanya sewaktu mengumumkan Prestasi Perdagangan Luar bagi bulan September dan bagi tempoh Januari hingga September 2008 di kementeriannya di sini hari ini.
Nilai eksport bagi bulan September meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding Ogos terutamanya disumbangkan oleh eksport yang tinggi produk elektrik dan elektronik, produk berasaskan petrolium, peralatan optikal dan saintifik, besi dan keluli serta minyak sawit, kata beliau.
Selain itu, dagangan Malaysia dengan negara-negara ASEAN meningkat 15.9 peratus kepada RM233.91 bilion manakala eksport bagi rantau yang sama bertambah 19.7 peratus kepada RM134.17 bilion.
Mengulas jangkaan prestasi perdagangan bagi bulan-bulan berikutnya pada tahun ini dan tahun depan, Muhyiddin berkata, segalanya akan bergantung kepada pelbagai faktor termasuk persekitaran ekonomi sejagat dan ketidaktentuan harga komoditi dan juga kadar tukaran wang.
Beliau berkata, pasaran di AS, Jepun dan Kesatuan Eropah dijangka merosot dalam jangka masa terdekat disebabkan oleh kelembapan ekonomi masing-masing dan kebanyakan negara berkenaan telah menurunkan kadar pertumbuhan mereka.
''Masih terdapat negara seperti Brazil, China, India dan Rusia yang akan mencatat pertumbuhan tetapi pada kadar yang lebih rendah daripada unjuran yang dibuat bagi tahun 2008,'' kata Muhyiddin.
Beliau berkata, kewujudan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN akan terus menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia menerokai peluang-peluang eksport di rantau ini.
Menteri itu menambah, pertumbuhan eksport masih boleh berlaku tahun depan di sebalik kebimbangan terhadap senario ekonomi sejagat berdasarkan tinjauan positif sesetengah industri suku akhir 2008 dan 2009.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment